Takrif As-Soid
Merupakan masdar
atau kata terbitan dari
sada, yasidu dan
saidan yang bermaksud
menawan dan menangkapnya secara tidak sedar atau menggunakan tipu helah
samada yang ditangkap itu makanan atau sebaliknya.
Namun mengikut istilah syarak as-soid (perburuan) adalah dikhususkan untuk binatang yang boleh dimakan sahaja.
Dalil Keharusan Berburu :
Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :
"Dihalalkan
bagi kamu binatang-binatang ternak kecuali apa yang akan dibacakan
(tentang haramnya) kepada kamu, tidak halal perburuan ketika kamu dalam
berihram ( semasa haji dan umrah)"
" Dan apabila kamu telah selesai mengerjakan haji maka bolehlah kamu berburu"
-Al-Maidah : 1 & 2-
Kedua-dua
ayat diatas menjelaskan akan sekatan untuk berburu bagi yang berada
dalam keadaan berihram dan keharusannya setelah selesai daripada ihram
(tahallul).
Hikmah Pensyariatan Perburuan :
Hikmat
perburuan adalah sama sebagaimana hikmah penyembelihan darurat
disebabkan keadaan-keadaan yang memaksa manusia memperolehi makanan
melalui cara berburu. Ini berikutan terdapat haiwan-haiwan yang liar
yang tidak boleh diperolehi dengan cara biasa tetapi mendesak manusia
untuk berburu.
Perburuan
merupakan keringanan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat
manusia. Ia dapat mengelakkan manusia kelaparan ketika ketiadaan haiwan
dan makanan lain melainkan binatang liar. Oleh itu manusia harus
bersyukur kerana pensyariatan ini membantu manusia melakukan
pengibadatan dengan sebaiknya.
Perburuan yang Halal dan Tidak Halal
1. Pada dasarnya semua jenis perburuan adalah halal berdasarkan dalil yang umum berikut :
" Dan apabila kamu telah selesai mengerjakan haji maka bolehlah kamu berburu" – al-Maidah: 2-
2. Namun hukum di atas adalah terkecuali bagi perkara-perkara berikut
a.
Haram berburu bianatang yang haram dimakan dan tidak dibenarkan
membunuhnya. Iaitu bila cara pemburuan dibuat ke atas binatang yang
tidak merbahayakan manusia seperti kuda dan anjing dengan tujuan untuk
membunuh. Namun jika cara perburuan yang tidak memudharatkan haiwan ini
seperti menggunakan jaring dan lain-lain maka tidak haram.
b.
Berburu dengan tujuan untuk bermain-main samada kepada haiwan yang
halal di makan atau yang haram dimakan. Contoh keluar berburu untuk
berhibur bukan tujuan untuk makan.
c. Berburu dalam keadaan berihram.-al-Maidah :95-
d. Berburu di kawasan tanah haram.
"Sesungguhnya
negeri Makkah ini telah diharamkan oleh Allah daripada melakukan apa
yang disebut. Tidak boleh dicabut dan dipotong tumbuhan, tidak boleh
dikejar dan diganggu binatang buruan, dan tidak boleh kutip
barang-barang yang tercicir untuk menjadikannya milik sendiri kecuali
untuk dipulangkan kepada tuannya."
Cara berburu yang disyariatkan :
1. Menggunakan benda tajam yang boleh melukakan
Apa
sahaja benda tajam yang boleh melukakan boleh digunakan sebagai senjata
untuk perburuan samada daripada besi, timah ( peluru), tulang, kaca dan
lain-lain.
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Rafi’ bin Kahudaij r.a:
“ Apa yang mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah padanya maka makanlah ia”
( Bukhari & Muslim)
Menggunakan
alat yang tidak tajam yang boleh menyiksa seperti hempakan batu,
mencekek, menghimpit, membakar dan lain-lain adalah diharamkan dan
binatang tersebut tidak halal di makan.
Namun
jika dengan menggunakan alat berburu yang tajam tetapi tidak mengenai
sasaran yang tepat dan binatang tersebut masih belum mati seperti
terkena kaki dan sayap, maka pemburu menyembelihnya mengikut syarak,
binatang tersebut harus di makan.
Begitu
juga sekiranya pemburu mendapati binatang tersebut masih mempunyai
hayat
mustaqirrah kemudian membalingnya sekali lagi dari jauh
menggunakan alat yang tajam seperti tombak dan pisau dengan niat
membunuhnya maka harus dimakan.
2. Menggunakan binatang buruan dari kalangan binatang buas dan burung.
Kaedah
berburu kedua yang disyariatkan ialah menggunakan binatang buruan yang
terdiri dari binatang buas dan burung seperti anjing, helang, harimau
dan seumpamanya.
Syarat-syarat perburuan menggunakan binatang buas ialah :
a)
Binatang buruan terus meluru kearah binatang yang dimaksudkan sebaik
sahaja dilepaskan. Binatang tersebut hendaklah tidak mengarah ke arah
selainnya.
b) Ia berhenti apabila diarahkan berhenti.
c)
Tidak makan sedikitpun dari binatang yang diburu itu. Kecuali setelah
diletak dihadapan tuannya kemudian memakan sedikit dihadapan tuannya
adalah dimaafkan.
Dalil – Surah al-Maidah :4-
«
Katakanlah dihalalkan bagi kamu memakan yang baik-baik dan buruan yang
ditangkap oleh binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar untuk
berburu mengikut pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya sebagaimana yang diajar oleh Allah kepada kamu. Oleh itu
makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu”
Sabda Rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim r.a :
“
Apabila kamu melepaskan anjing berburu kamu yang kamu yang telah di
ajar dan kamu membacakan Bismillah lalu ia menangkapnya, tidak
memakannya dan binatang itu mati , maka makanlah dari binatang itu.
Sekiranya anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya .
Sesungguhnya ia telah menangkap untuk dirinya bukan untuk kamu”
(al-Bukhari & Muslim)
Bilakah Pemburuan dianggap Sembelihan :
1.
Bila binatang yang diburu masih bernyawa (hayat mustaqirrah) ketika
pemburu mendapatinya, maka pemburu perlu menyembelih binatang itu. Jika
tidak maka binatang itu dikira bangkai.
2.
Jika pemburu tidak sempat mendapatkan binatang buruan itu dan ia telah
mati, maka binatang itu dianggap telah disembelih dan halal di makan.
Rujukan :
Kitab Fiqh al-Manhaji Imam as-Shafie.