Sunday 9 January 2011

Penghantaran Tugasan

Assalamualaikum w.b.t.

Permakluman kepada siswa siswi yang mengambil subjek ustazah pada semester ini. Sila ambil perhatian bagi perkara-perkara yang berikut :

i) Penghantaran Latihan/tugasan Mingguan.

   Sila ambil perhatian terhadap :
   a)  TARIKH PENGHANTARAN TUGASAN. Kelewatan penghantaran tidak akan menerima 
        apa-apa markah.
   b)  Cara penghantaran tugasan. Sekiranya minta diemailkan , sila email ke email gmail sahaja 
        kerana  inbox email kolej kapasitinya tidak besar. Jadi emailkan ke : ummuadib@gmail.com.

ii) Penghantaran assignment semester ini . Sila hantar selewat-lewatnya pada minggu ke12 kuliah iaitu sebelum 18hb Mac 2011 (jumaat).

Sekian, harap maklum.

SEMOGA ANDA TERUS BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT.
 

Monday 1 November 2010

Keutamaan Ibadat Haji



Sedar tidak sedar, kita kini telah berada di bulan-bulan haji iaitu Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Pastinya kini kita merasai bahang ibadat haji terutamanya bagi yang berkemampuan dan direzekikan oleh Allah untuk melaksanakan ibadat tersebut pada tahun ini. Namun bagi yang belum diizinkan oleh Allah mengerjakan ibadat tersebut, mungkin kita hanya tumpang seronok melihat dan menghantar saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga ke Tanah Suci tersebut.

Pada artikel kali ini saya suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat blog ini tentang keutamaan ibadat haji agar kita lebih bersemangat dan berazam untuk melaksanakan ibadat tersebut pada tahun-tahun akan datang secepat yang boleh. Jika diizinkan oleh Allah.

Antara kelebiihan dan keutamaan ibadat haji ini ialah

i) Ia merupakan jenis ibadat yang menggabungkan dua jenis ibadat iaiatu ibadat jasadiyah dan maliyyyah. Ini kerana haji dan begitu juga umrah memerlukan kombinasi dua keupayaan manuusia iaitu keupayaan dari sudut tubuh badan dan keupayaan harta. Berbeza dengan ibadat yang lain dalam rukun Islam kita seperti puasa dan solat hanya dalam kategori ibadat jasadiyyah. Manakala zakat pula adalah ibadat maliyyah.

ii) Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan beberapa hadis yang memperlihatkan keutamaan dan kelebihan ibadat haji ini seperti :

Nabi ditanya perbuatan apa yang paling utama? Beliau menjawab: Beriman kepada Allah dan RasulNya, Ditanya lagi: "kemudian setelah itu?" Beliau menjawab: "Jihad di jalan Allah", Ditanya lagi," kemudian setelah itu?" Beliau menjawab: "Haji yang mabrur". (HR Bukhari Fathul Bari 4/157).

“Barangsiapa yang melaksanakan haji lalu ia tidak rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) dan tidak berbuat fasiq, maka ia kembali seperti saat dilahirkan ibunya (tidak punya dosa) (HR. Bukhari 1691)


“Satu umrah keumrah lain adalah panghapus (dosa-dosa) antara keduanya, sedangkan haji yang mabrur tiada balasan lain, melainkan surga. Bukhori 1650 muslim 2403 tirmidzi 855 nasai 2575 ibn majah 2879 ahmad 7050(HR. Al Jama’ah kecuali Abu Daud_Nailul Authar 3/1361).


Demikianlah kelebihan dan keutamaan ibadat haji yang amat besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Maka marilah kita bersama-sama berazam bagi melaksanakan ibadat tersebut dengan limpah kemampuan yang diberi dan akan diberikan oleh Allah agar beroleh haji yang mabrur.


Sunday 17 October 2010

Perburuan Menurut Islam

Takrif As-Soid


Merupakan masdar atau kata terbitan dari sada, yasidu dan saidan yang bermaksud menawan dan menangkapnya secara tidak sedar atau menggunakan tipu helah samada yang ditangkap itu makanan atau sebaliknya.

Namun mengikut istilah syarak as-soid (perburuan) adalah dikhususkan untuk binatang yang boleh dimakan sahaja.

Dalil Keharusan Berburu :

Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

"Dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu, tidak halal perburuan ketika kamu dalam berihram ( semasa haji dan umrah)"


" Dan apabila kamu telah selesai mengerjakan haji maka bolehlah kamu berburu"

-Al-Maidah : 1 & 2-

Kedua-dua ayat diatas menjelaskan akan sekatan untuk berburu bagi yang berada dalam keadaan berihram dan keharusannya setelah selesai daripada ihram (tahallul).

Hikmah Pensyariatan Perburuan :


Hikmat perburuan adalah sama sebagaimana hikmah penyembelihan darurat disebabkan keadaan-keadaan yang memaksa manusia memperolehi makanan melalui cara berburu. Ini berikutan terdapat haiwan-haiwan yang liar yang tidak boleh diperolehi dengan cara biasa tetapi mendesak manusia untuk berburu.


Perburuan merupakan keringanan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia. Ia dapat mengelakkan manusia kelaparan ketika ketiadaan haiwan dan makanan lain melainkan binatang liar. Oleh itu manusia harus bersyukur kerana pensyariatan ini membantu manusia melakukan pengibadatan dengan sebaiknya.


Perburuan yang Halal dan Tidak Halal



1. Pada dasarnya semua jenis perburuan adalah halal berdasarkan dalil yang umum berikut :


" Dan apabila kamu telah selesai mengerjakan haji maka bolehlah kamu berburu" – al-Maidah: 2-


2. Namun hukum di atas adalah terkecuali bagi perkara-perkara berikut

a. Haram berburu bianatang yang haram dimakan dan tidak dibenarkan membunuhnya. Iaitu bila cara pemburuan dibuat ke atas binatang yang tidak merbahayakan manusia seperti kuda dan anjing dengan tujuan untuk membunuh. Namun jika cara perburuan yang tidak memudharatkan haiwan ini seperti menggunakan jaring dan lain-lain maka tidak haram.


b. Berburu dengan tujuan untuk bermain-main samada kepada haiwan yang halal di makan atau yang haram dimakan. Contoh keluar berburu untuk berhibur bukan tujuan untuk makan.

c. Berburu dalam keadaan berihram.-al-Maidah :95-

d. Berburu di kawasan tanah haram.


"Sesungguhnya negeri Makkah ini telah diharamkan oleh Allah daripada melakukan apa yang disebut. Tidak boleh dicabut dan dipotong tumbuhan, tidak boleh dikejar dan diganggu binatang buruan, dan tidak boleh kutip barang-barang yang tercicir untuk menjadikannya milik sendiri kecuali untuk dipulangkan kepada tuannya."


Cara berburu yang disyariatkan :


1. Menggunakan benda tajam yang boleh melukakan


Apa sahaja benda tajam yang boleh melukakan boleh digunakan sebagai senjata untuk perburuan samada daripada besi, timah ( peluru), tulang, kaca dan lain-lain.


Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Rafi’ bin Kahudaij r.a:


“ Apa yang mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah padanya maka makanlah ia”

( Bukhari & Muslim)


Menggunakan alat yang tidak tajam yang boleh menyiksa seperti hempakan batu, mencekek, menghimpit, membakar dan lain-lain adalah diharamkan dan binatang tersebut tidak halal di makan.


Namun jika dengan menggunakan alat berburu yang tajam tetapi tidak mengenai sasaran yang tepat dan binatang tersebut masih belum mati seperti terkena kaki dan sayap, maka pemburu menyembelihnya mengikut syarak, binatang tersebut harus di makan.


Begitu juga sekiranya pemburu mendapati binatang tersebut masih mempunyai hayat mustaqirrah kemudian membalingnya sekali lagi dari jauh menggunakan alat yang tajam seperti tombak dan pisau dengan niat membunuhnya maka harus dimakan.


2. Menggunakan binatang buruan dari kalangan binatang buas dan burung.


Kaedah berburu kedua yang disyariatkan ialah menggunakan binatang buruan yang terdiri dari binatang buas dan burung seperti anjing, helang, harimau dan seumpamanya.


Syarat-syarat perburuan menggunakan binatang buas ialah :


a) Binatang buruan terus meluru kearah binatang yang dimaksudkan sebaik sahaja dilepaskan. Binatang tersebut hendaklah tidak mengarah ke arah selainnya.

b) Ia berhenti apabila diarahkan berhenti.

c) Tidak makan sedikitpun dari binatang yang diburu itu. Kecuali setelah diletak dihadapan tuannya kemudian memakan sedikit dihadapan tuannya adalah dimaafkan.


Dalil – Surah al-Maidah :4-


« Katakanlah dihalalkan bagi kamu memakan yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar untuk berburu mengikut pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya sebagaimana yang diajar oleh Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu”


Sabda Rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim r.a :


“ Apabila kamu melepaskan anjing berburu kamu yang kamu yang telah di ajar dan kamu membacakan Bismillah lalu ia menangkapnya, tidak memakannya dan binatang itu mati , maka makanlah dari binatang itu. Sekiranya anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya . Sesungguhnya ia telah menangkap untuk dirinya bukan untuk kamu”

(al-Bukhari & Muslim)


Bilakah Pemburuan dianggap Sembelihan :


1. Bila binatang yang diburu masih bernyawa (hayat mustaqirrah) ketika pemburu mendapatinya, maka pemburu perlu menyembelih binatang itu. Jika tidak maka binatang itu dikira bangkai.


2. Jika pemburu tidak sempat mendapatkan binatang buruan itu dan ia telah mati, maka binatang itu dianggap telah disembelih dan halal di makan.


Rujukan :



Kitab Fiqh al-Manhaji Imam as-Shafie.

Monday 12 July 2010

Sinar Mutiara

Alhamdulillah, dapat saya mewujudkan satu blog yang berkonsepkan Sinar Mutiara sebagai medan untuk saya berkongsi ilmu dengan siswa siswi dan pembaca sekalian. Walaupun ilmu tidaklah setinggi mana, namun ibarat tiram. Tetap tabah berusaha sehingga menghasilkan mutiara yang amat berharga dan memberi nilai bagi manusia dan hidupan yang lain.

Buat pembaca sekalian, selamat membaca dan berkongsi idea dengan saya.

Buat siswa siswi saya, dalam melayari internet luangkan masa menjengah blog-blog saya agar dapat manfaat dan ilmu secara berterusan dari saya dalam bentuk informal.


Salam sayang buat semua...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...